Saturday, June 27, 2009

AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977

UNDANG-UNDANG
MALAYSIA
CETAKAN SEMULA
AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977
SUSUNAN SEKSYEN
Seksyen
1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran
3. Kuasa bagi menghendaki seseorang orang papa tinggal di rumah kebajikan
4. Masuk secara sukarela ke rumah kebajikan
5. Menteri boleh menubuhkan rumah kebajikan
6. Lembaga Pelawat
7. Kaedah-kaedah bagi mengurus rumah kebajikan
8. Dilepaskan dari rumah kebajikan
9. Orang yang tinggal di rumah kebajikan boleh dikehendaki mengambil
bahagian dalam aktiviti yang sesuai
10. Orang yang tinggal di rumah kebajikan boleh dihantar ke hospital
11. Penalti
12. Menangkap orang papa yang lari
13. Memendekkan tempoh tinggal
14. Pemansuhan
15. Peruntukan peralihan
16. Penyeliaan setelah dilepaskan
4 Undang-Undang Malaysia AKTA 183
Orang-Orang Papa 5

UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 183
AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977
Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi menjaga dan
memulihkan orang papa dan bagi mengawal kutu rayau.
[Semenanjung Malaysia—15 November 1977,
P.U. (B) 678/1977; Sarawak—27 Januari 1995,
P.U. (B) 33/1995]

DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan
Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan
dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:
Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Orang-Orang Papa 1977
dan hendaklah terpakai bagi seluruh Malaysia.
(2) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang
ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahu dalam Warta dan
tarikh yang berlainan boleh ditetapkan bagi Negeri yang berlainan
dalam Malaysia, dan bagi peruntukan yang berlainan dalam Akta
ini.
Tafsiran
2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna
yang lain—
“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat,
dan termasuklah seseorang Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri
dan Pengarah Kebajikan Masyarakat, Wilayah Persekutuan;
“mengemis” ertinya apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong
pemberian sedekah, sama ada atau tidak terdapat apa-apa perbuatan
6 Undang-Undang Malaysia AKTA 183
pura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk
jualan atau selainnya;
“Menteri” ertinya Menteri yang bertanggungjawab bagi
perkhidmatan kebajikan;
“orang papa” ertinya—
(a) seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam
dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin
menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim
mengunjungi tempat itu atau pun hingga menimbulkan
kacau ganggu; atau
(b) seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam,
sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai
mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau
yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan
memuaskan;
“Penguasa” ertinya seseorang yang mengurus atau mengawal
sesuatu rumah kebajikan;
“rumah kebajikan” ertinya sesuatu institusi, atau sebahagian
daripadanya, yang ditubuhkan di bawah Akta ini untuk menerima,
menjaga dan memulihkan orang papa.
Kuasa bagi menghendaki seseorang orang papa tinggal di rumah
kebajikan
3. (1) Mana-mana pegawai yang diberi kuasa dengan sewajarnya
secara bertulis oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan dan yang
bertindak di bawah arahan Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai
kebajikan masyarakat boleh mengambil ke dalam jagaannya manamana
orang papa dan mengemukakan orang itu ke hadapan seseorang
Majistret dalam tempoh dua puluh empat jam:
Dengan syarat bahawa jika orang papa itu tidak mahu diambil
atau memberikan apa-apa tentangan kepada pegawai yang disebut
dalam subseksyen ini, pegawai itu boleh meminta mana-mana pegawai
polis untuk membantu menjalankan kuasanya, dan menjadi kewajipan
tiap-tiap pegawai polis untuk mematuhi permintaan itu.
Orang-Orang Papa 7
(2) Jika Majistret itu mempunyai sebab yang munasabah untuk
mempercayai bahawa seseorang yang dibawa ke hadapannya itu
ialah orang papa, dia boleh memerintahkan supaya orang itu
dimasukkan sementara ke dalam suatu rumah kebajikan sementara
menunggu suatu laporan oleh pegawai kebajikan masyarakat.
(3) Laporan itu hendaklah disiapkan dalam tempoh satu bulan
dari tarikh orang itu dimasukkan ke dalam suatu rumah kebajikan.
(4) Seseorang Majistret dalam Kamar jika berpuas hati daripada
suatu laporan yang diberikan oleh seseorang pegawai kebajikan
masyarakat bahawa orang itu seorang orang papa, boleh dengan
waran yang ditandatangani sendiri olehnya memerintahkan supaya
orang itu tinggal dalam suatu rumah kebajikan selama tempoh
yang tidak boleh melebihi tiga tahun:
Dengan syarat bahawa seseorang Majistret dalam Kamar boleh,
jika berpuas hati daripada suatu laporan yang diberikan oleh seseorang
pegawai kebajikan masyarakat, melanjutkan Perintah itu selama
suatu tempoh selanjutnya yang difikirkannya patut dan tempoh itu
tidak boleh melebihi tiga tahun.
(5) Penguasa rumah kebajikan itu hendaklah menjaga orang
papa yang telah dimasukkan sementara atau yang telah diperintahkan
supaya tinggal dalam suatu rumah kebajikan.
(6) Seksyen ini tidak terpakai bagi seseorang yang berumur di
bawah lapan belas tahun.
Masuk secara sukarela ke rumah kebajikan
4. Mana-mana orang papa yang secara sukarela meminta supaya
dimasukkan ke suatu rumah kebajikan dikehendaki mengaku janji
bahawa, jika diterima masuk, dia akan patuh kepada syarat masuk
yang dikenakan di bawah Akta ini atau kepada apa-apa kaedah
yang dibuat di bawahnya.
Menteri boleh menubuhkan rumah kebajikan
5. (1) Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta,
menubuhkan rumah kebajikan di mana-mana tempat yang
difikirkannya patut.
8 Undang-Undang Malaysia AKTA 183
(2) Menteri boleh melantik penguasa bagi mengurus rumah
kebajikan.
Lembaga Pelawat
6. Menteri boleh melantik suatu Lembaga Pelawat bagi tiap-tiap
rumah kebajikan untuk melaksanakan kewajipan dan fungsi
sebagaimana yang boleh ditetapkan oleh Menteri melalui kaedahkaedah
dan untuk memberikan nasihat dan membuat syor kepada
Ketua Pengarah mengenai apa-apa perkara yang dirujukkan
kepadanya oleh Ketua Pengarah.
Kaedah-kaedah bagi mengurus rumah kebajikan
7. Menteri boleh membuat kaedah-kaedah—
(a) bagi mengawal selia pengurusan rumah-rumah kebajikan
dan penerimaan masuk orang ke dalamnya dan bagi
menjaga, mengawal, mendisiplinkan dan memulihkan orang
yang tinggal di dalamnya;
(b) bagi menetapkan penubuhan dan fungsi Lembaga Pelawat;
dan
(c) pada amnya bagi menguatkuasakan Akta ini.
Dilepaskan dari rumah-rumah kebajikan
8. (1) Mana-mana orang yang diterima masuk ke sesuatu rumah
kebajikan, sama ada atas permohonannya sendiri atau selainnya,
boleh dilepaskan oleh Penguasa—
(a) jika ia berpuas hati bahawa penghuni itu telah mendapat
pekerjaan yang sesuai untuk menyenggara dirinya; atau
(b) kepada jagaan seseorang yang mahu dan berkebolehan
menjaga dan menanggung penghuni itu dengan sepatutnya.
Orang yang tinggal di rumah kebajikan boleh dikehendaki
mengambil bahagian dalam aktiviti yang sesuai
9. Mana-mana orang yang tinggal di sesuatu rumah kebajikan
boleh dikehendaki mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti
yang sesuai, sama ada dengan tujuan untuk melayakkan dia untuk
Orang-Orang Papa 9
pekerjaan di luar rumah kebajikan itu atau dengan tujuan untuk
membolehkan dia memberikan sumbangan kepada penyenggaraannya
dalam rumah kebajikan itu.
Orang yang tinggal di rumah kebajikan boleh dihantar ke
hospital
10. Mana-mana orang yang tinggal di sesuatu rumah kebajikan
boleh dihantar ke sesuatu hospital atau institusi perubatan lain
untuk dirawat, jika diarahkan sedemikian oleh pegawai perubatan,
dan hendaklah disifatkan semasa menerima rawatan itu sebagai
seorang penghuni rumah kebajikan itu.
Penalti
11. Mana-mana orang yang—
(a) tidak mahu diambil, atau yang memberikan apa-apa
tentangan kepada pengambilannya, ke dalam jagaan
seseorang pegawai yang diberi kuasa dengan sewajarnya
secara bertulis oleh sesuatu pihak berkuasa tempatan dan
yang bertindak di bawah arahan Ketua Pengarah atau
seseorang pegawai kebajikan masyarakat di bawah Akta
ini;
(b) lari dari seseorang pegawai yang diberi kuasa dengan
sewajarnya secara bertulis oleh sesuatu pihak berkuasa
tempatan dan yang bertindak di bawah arahan Ketua
Pengarah atau seseorang pegawai kebajikan masyarakat
semasa diletakkan dalam jagaannya di bawah Akta ini;
(c) tanpa kebenaran Penguasa meninggalkan rumah kebajikan
tempat dia dikehendaki tinggal di bawah seksyen 3 atau
tempat dia telah diterima masuk atas permohonannya
sendiri di bawah seksyen 4; atau
(d) setelah dibenarkan meninggalkan sesuatu rumah kebajikan
bagi sesuatu masa yang ditentukan tidak kembali tanpa
sebab yang munasabah apabila tamat masa yang ditentukan
itu,
melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dihantar
ke suatu rumah kebajikan atau dipenjara selama tempoh tidak
melebihi tiga bulan.
10 Undang-Undang Malaysia AKTA 183
Menangkap orang papa yang lari
12. Seseorang pegawai polis boleh menangkap tanpa waran manamana
orang yang dipercayainya dengan munasabah telah melakukan
suatu kesalahan di bawah seksyen 11.
Memendekkan tempoh tinggal
13. Menteri boleh memendekkan tempoh tinggal dan melepaskan
mana-mana orang dari rumah kebajikan jika Menteri berpuas hati
bahawa adalah adil dan patut berbuat demikian kerana sebab istimewa
mengenai kebajikan orang itu.
Pemansuhan
14. Akta Kutu Rayau 1965 [Akta 19 tahun 1965] adalah
dimansuhkan.
Peruntukan peralihan
15. Apabila Akta ini mula berkuat kuasa, semua orang yang
tinggal di Pusat yang ditubuhkan di bawah Akta Kutu Rayau 1965
hendaklah terus tinggal di rumah kebajikan.
Penyeliaan setelah dilepaskan
16. Jika seseorang itu dilepaskan dari rumah kebajikan di bawah
mana-mana peruntukan Akta ini, dia hendaklah diletakkan di bawah
penyeliaan seorang pegawai kebajikan masyarakat selama tempoh
tidak melebihi satu tahun.

Orang-Orang Papa 11
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 183
AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977
SENARAI PINDAAN
Undang-undang Tajuk ringkas Berkuat kuasa
yang meminda dari
Akta A404 Akta Orang-Orang Papa (Pindaan) 15-11-1977
1977
Akta A638 Akta Orang-Orang Papa (Pindaan) 01-01-1986
1985
12 Undang-Undang Malaysia AKTA 183

UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 183
AKTA ORANG-ORANG PAPA 1977
SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA
Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa
dari
3 Akta A404 15-11-1977
Akta A638 01-01-1986
11 Akta A404 15-11-1977
13 Akta A638 01-01-1986
16 Akta A638 01-01-1986

No comments:

Post a Comment