Tuesday, July 13, 2010

Selamat datang pelajar baru ke Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial

Kepada semua pelajar baru Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, selamat datang ke jabatan ini, kesudian anda menyertai jabatan ini adalah kebanggaan kami. Diharapkan anda ceria dan gembira bersama jabatan.Kehadiran anda kejabatan ini amat dialu-alukan.

Thursday, June 3, 2010

Menangani risiko ancaman sosial kanak-kanak

ARKIB : 24/08/2009

JUDUL: Perlindungan kanak-kanak berisiko
Pengarang: Siti Hajar Abu Bakar Ah dan Abd Hadi Zakaria
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
ISBN: 978-983-100-463-0
Pengulas: MOHD YAHYA MOHD ARIFFIN

KANAK-KANAK adalah modal insan yang penting untuk sesebuah negara. Mereka merupakan generasi pelapis yang menjadi harapan untuk meneruskan kemajuan yang dicapai dan dicorakkan oleh generasi kini.

Namun, jika golongan ini diabai serta dibiarkan terlibat dalam aktiviti antisosial, maka ia bakal menjejas dan merosakkan masa depan negara. Tingkah laku antisosial kanak-kanak termasuklah keganasan (fizikal dan harta benda), keganasan seksual, penyalahgunaan dadah, lepak, lari dari rumah, kongsi gelap dan geng samseng.

Sama ada sedar atau tidak, perubahan sosial dan desakan ekonomi menyebabkan ramai kanak-kanak hidup dan membesar dalam persekitaran berisiko. Kanak-kanak yang terdedah kepada persekitaran berisiko ini mempunyai kecenderungan tinggi untuk terlibat dengan pelbagai kegiatan antisosial.

Masa depan kumpulan kanak-kanak ini dikatakan amat kabur sekiranya kehidupan berisiko yang dilalui mereka tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh pihak yang berkaitan. Malah apa yang lebih menggerunkan lagi seperti kata pengarang buku ini ialah jika masalah ini dipandang remeh oleh masyarakat maka, ia mampu mengancam kesejahteraan hidup masyarakat.

Cuba kita bayangkan bagaimanakah kehidupan sebuah komuniti yang mana majoriti daripada anggota muda (kanak-kanak) terdiri daripada mereka yang antisosial?

Begitulah antara gambaran yang dilontarkan oleh dua pengarang buku ini, Profesor Madya Dr. Siti Hajar Abu Bakar Ah dari Universiti Malaya dan Profesor Dr. Abd Hadi Zakaria dari Universiti Darul Iman mengenai kanak-kanak berisiko di negara ini.

Bagi memperkukuhkan hujah, mereka mengkaji beberapa persekitaran sosial berisiko iaitu persekitaran sosioekonomi keluarga yang mencabar, kapasiti dan kualiti kemahiran hidup yang dimiliki kanak-kanak serta persekitaran komuniti berisiko.

Buku setebal 219 halaman dengan lapan bab ini membincangkan tiga intervensi sosial yang boleh membantu dan melindungi kanak-kanak berisiko daripada ancaman faktor risiko atau terbabit sebagai pelaku antisosial.

Tiga intervensi itu ialah penjagaan peribadi bersemuka, program kemahiran hidup serta program penjagaan komuniti untuk kanakkanak berisiko. Buku ini memberi pengetahuan lebih luas berkaitan penjagaan sosial kanak-kanak berisiko dan lebih penting, sebagai usaha melindungi mereka.

Perkara asas yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib sebelum mengenal pasti program pencelahan yang komprehensif untuk menangani tingkah laku antisosial kanak-kanak ialah mengenal pasti faktor prajadian dan risiko yang mendorong kanak-kanak terlibat dan melakukan aktiviti antisosial.

Perancangan program penjagaan sosial untuk menangani masalah tingkah laku berisiko kanak-kanak harus memenuhi tiga kekurangan keperluan golongan berkenaan.

Pertama ialah keperluan perhatian, kasih sayang, penjagaan, kawalan, bimbingan dan hubungan mesra daripada orang dewasa yang berkesan. Individu dewasa berkesan seperti ibu bapa, saudara terdekat, guru, profesional dalam bidang berkaitan dengan kanak-kanak berperanan penting membantu kanak-kanak berisiko mengawal diri sendiri, mengenal pasti kekurangan keperluan, merawat masalah serta memanfaatkan aset pengembangan dalam diri mereka seoptimum mungkin.

Program ini pula harus bersifat anjal.

Kedua, keperluan memiliki kemahiran hidup yang mampu membantu kanak-kanak berisiko menghadapi segala cabaran hidup yang wujud di persekitaran sosial mereka.

Menurut pengarang, penjagaan peribadi untuk kanak-kanak berisiko akan lebih berkesan jika mereka yang terlibat mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan.

Program yang dijalankan pula harus seimbang daripada segi keperluan sosial, akademik, sahsiah dan peribadi kanak-kanak ini, selain latihan harus terbuka. Maklumat mengenai latihan kemahiran ini harus dimaklumkan secara terus dan telus kepada kanak-kanak berisiko melalui sekolah, pusat pengembangan atau media massa.

Perkara ketiga ialah keperluan kanak-kanak berisiko untuk hidup dan membesar dalam persekitaran komuniti mesra dan membangun. Persekitaran ini harus menyediakan kaedah dan strategi yang terdapat dalam sesebuah komuniti bagi melindungi kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di samping itu, persekitaran sedemikian merupakan elemen paling diperlukan oleh kanak-kanak ini untuk membentuk serta mengekalkan interaksi dan perhubungan yang positif dengan ahli lain dalam komuniti.

Menurut pengarang, cabaran Ketujuh dan Kesembilan Wawasan 2020 serta Dasar Sosial Negara dengan jelas menyentuh mengenai kepentingan persekitaran sosial yang mesra dan membangun dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang maju, sejahtera dan beretika mulia.

Isu yang dikaji dalam buku ini dilihat mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan kesedaran tentang perlindungan kanak-kanak berisiko di negara ini.

Buku ini amat sesuai dibaca dan dirujuk oleh masyarakat yang ingin mendalami, memahami serta mencari cara untuk melindungi kanak-kanak berisiko yang sememangnya wujud di sekeliling kita.

Sunday, March 7, 2010

Mentransformasi kakitangan awam kikis tanggapan negatif Oleh Jami’ah Shukri jamia@bharian.com.my Selasa 22 February 2010 Berita Harian

KAKITANGAN kerajaan, terutama yang banyak berinteraksi dengan orang ramai acap kali dilabel tidak mesra, lembap, malas, tidak boleh berkomunikasi dengan baik, gagal mengawal perasaan, kurang pengetahuan dan berkemahiran. Adil dan wajarkah tuduhan itu terus-terusan dilemparkan dengan dilabel sebegitu?

Sejauh mana Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan sejak April tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mentransformasikan kerajaan supaya lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat serta memacu negara ke arah melahirkan masyarakat maju, bersatu padu dan saksama dengan standard kehidupan lebih tinggi bergerak sejajar dengan objektifnya.
Selepas hampir setahun GTP dan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancarkan, sejauh mana pencapaiannya? Hakikatnya kecekapan dan keupayaan ‘orang kerajaan’ itu sudah menampakkan hasilnya, cuma memerlukan pacuan gear semaksimumnya.

Hakikatnya, transformasi itu perlu untuk memastikan peratusan reaksi negatif masyarakat terhadap produktiviti, prosedur, birokrasi dan amalan tertentu terhadap golongan itu dapat dimaksimumkan. Justeru, inilah cabaran besar yang perlu diharungi kira-kira 1.2 juta penjawat awam dengan pelaksanaan disegerakan dengan lebih berkesan.

Ketua Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr Haris Abdul Wahab, melihat GTP itu wajar sebagai penanda aras serta kayu pengukur ke arah perubahan transformasi kakitangan awam yang lebih cekap, ada kredibiliti dan berdaya maju, sekali gus menimbulkan kesejahteraan kepada masyarakat secara keseluruhan.
Bukan tugas mudah untuk menggemblengkan sepenuhnya sektor awam ini kerana banyak penambahbaikan perlu dilakukan dan secalit kesilapan dilakukan, menjadikan keyakinan masyarakat luntur dan akan terus menempelak penyampaian perkhidmatan mereka.

Pandangan negatif masyarakat itu boleh ditepis dengan memastikan semua kakitangan kerajaan membantu masyarakat menangani masalah sosial yang berlaku di negara ini seperti isu kemiskinan, pengangguran, keruntuhan moral, pelbagai jenayah daripada yang sekecil-kecil hingga yang besar. Kesediaan kakitangan awam untuk mengurus dan mengawal masalah sosial dianggap sebagai input penambahbaikkan dalam pelaksanaan program lebih bersistematik untuk masyarakat.

Haris menjelaskan, sektor awam mempunyai kementerian dan jabatan yang mempunyai peranan masing-masing.

“Setiap jabatan boleh membantu mencungkil peluang serta mengenal pasti keperluan masyarakat umpamanya dari segi pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Pada masa sama, kakitangan sektor awam seharusnya menunjukkan keupayaan dalam mengenal pasti peluang untuk memajukan mobiliti sosial masyarakat. Saya percaya sekiranya semua aspek ini dapat dilaksanakan, masyarakat tidak lagi melabelkan penjawat awam sebagai gagal dan tidak berupaya membangunkan kehidupan masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, semua pencapaian keberhasilan GTP yang lebih berkesan dapat direalisasikan dengan menambah kemahiran dan pengetahuan anggotanya di semua peringkat selari dengan aspirasi Wawasan 2020 ke arah mencapai status negara maju.

“Setiap warga kerja seharusnya memperlengkapkan diri dengan pengetahuan bidang tugas masing-masing. Aspek kemahiran dari segi interaksi dengan pelanggan, bijak mengawal perasaan dan lebih memberi layanan mesra sentiasa diterapkan dalam diri.

“Sikap yang lebih positif itu adalah keutamaan dalam membantu hasrat kerajaan untuk proses GTP dengan jayanya. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya, dapat dilihat sesetengah jabatan terutama yang kerap berurusan dengan orang ramai seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah semakin baik.

“Jika dulu ramai yang merungut dengan sikap kurang profesional kakitangan, lembap dan tidak mesra tetapi semakin kurang,” katanya.

Pada masa sama, pelbagai prosedur, proses kerja dan birokrasi yang membelenggu setiap jabatan itu memerlukan pengubahsuaian supaya selaras antara jabatan dan agensi.

Pengorbanan tenaga, masa dan buah fikiran kakitangan sektor awam pasti tidak menjadi bahan momokan sekiranya mereka ingin menuntut kenaikan pangkat atau gaji jika mampu mempamerkan keupayaan sebenar sebagai ganjaran prestasi serta peningkatan produktiviti.