Wednesday, July 1, 2009

WONG LAI CHENG SELESA MEMBANTU ORANG

JARANG anak muda mempunyai kesedaran tinggi untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sosial. Di samping memerlukan komitmen, tugas ini kurang menarik minat golongan tersebut kerana tidak nampak pulangannya.

Namun, bagi Wong Lai Cheng, 26, menjadi pekerja sosial adalah satu kepuasan baginya kerana dapat menyumbang tenaga dan kepakaran kepada mereka yang memerlukan.
“Menjadi pekerja sosial tidak seperti kerjaya lain yang dianggap lebih glamor kerana jika itulah niatnya, memang kita sukar meneruskan bidang ini,’’ katanya.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini yang menyertai Pertubuhan Pergerakan Wanita (Awam) sejak dua tahun lalu berkata, beliau gembira dengan kerjayanya sekarang kerana dapat membantu wanita yang menghadapi masalah.

Awam adalah persatuan sukarelawan yang mempunyai rasa tanggungjawab memberi kesedaran dalam meningkatkan taraf wanita di Malaysia serta bebas daripada segala bentuk keganasan dan diskriminasi.

Selain membuat penyelidikan isu keganasan terhadap wanita, Awam memberi perkhidmatan kaunseling dan maklumat undang-undang untuk wanita, bantuan guaman secara percuma dalam bidang keluarga-sivil dan syariah, gangguan seksual, rogol dan lain-lain.
Menceritakan penglibatan beliau dalam kerjaya tersebut, kata gadis kecil molek itu segala-galanya bermula semenjak menjalani latihan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

“Saya ditempatkan di Jabatan Kebajikan Perubatan. Secara tidak langsung saya terdedah kepada permasalahan seperti remaja hamil luar nikah, kes keganasan rumah tangga dan mangsa sumbang mahram.

“Pengalaman ini memberi cukup pengalaman berharga kepada saya. Saya berasakan ia adalah sesuatu yang menarik perhatian saya untuk menjadikannya sebagai kerjaya,’’ ujarnya

Menceritakan pengalamannya lebih lanjut, kata Lai Cheng, sebaik menamatkan pengajian dalam bidang Pentadbiran dan Keadilan Sosial dari Universiti Malaya (UM), beliau nekad untuk menceburi bidang berkaitan.Ketika melayari Internet, beliau mendapati ada satu jawatan kosong sebagai pekerja sosial di Awam dan cuba memohon. Nasib menyebelahi dan permohonan beliau diterima.
Menurut Lai Cheng, pada awal penglibatan dalam bidang tersebut, beliau tidak menafikan berasa rendah diri kerana ramai rakan-rakan sekampusnya dahulu memilih untuk berkhidmat di sektor korporat.

Mengenai aktiviti Awam, Lai Cheng memberitahu, peserta akan diberi peluang berinteraksi sesama sendiri dan meluahkan perasaan. Ini secara tidak langsung menyedarkan mereka bahawa mereka tidak berseorangan menghadapi masalah tersebut.
Turut diadakan kumpulan sokongan bagi mangsa-mangsa rogol, yang disifatkan sebagai golongan yang rapuh dan memerlukan sokongan emosi dan mental.

Berdasarkan kepada pengalaman juga kata Lai Cheng, dalam kebanyakan kes ramai mangsa yang buntu dan panik apabila ditimpa musibah, ada yang berkeras untuk tidak melaporkan kepada pihak berkuasa dan pada masa sama, mereka juga tidak mengetahui saluran khusus untuk mendapatkan bantuan selain pihak berwajib menyebabkan pelaku terus bebas dan mungkin mengulangi perbuatan berkenaan.

Beliau berkata, tanpa bantuan sewajarnya hidup mangsa akan terus dibelenggu trauma kesan daripada kejadian berkenaan, sekali gus menjejaskan mutu kehidupan serta masa depan mangsa dan keluarga.

“Semua khidmat ini diberi percuma, tetapi apa yang diharapkan ialah supaya lebih ramai wanita tampil membuat laporan dan mendapatkan bantuan,’’ katanya.
ARKIB : 14/07/2006 UTUSAN MALAYSIA

Oleh ROSLAH OTHMAN

No comments:

Post a Comment