Saturday, June 27, 2009

JENIS-JENIS DIPLOMASI HAK ASASI

PENGENALAN

Tugas mendefinasikan Pengajian Strategik bukanlah satu perkara mudah. Bidang ini mengandungi pelbagai set tajuk dan terkandung dalam bidang hubungan antarabangsa yang sangat luas. Walaupun Pengajian Strategik ini mempunyai fokusnya tersendiri, tidak terdapat jurang pemisah yang kukuh yang dapat memisahkannya daripada hubungan antarbangsa. Identiti tersendiri Pengajian Strategik terbit dari fokusnya pada strategik ketenteraan. Strategik secara meluas dapat ditafsirkan sebagai satu seni sains atau sains yang menbentuk kaedah untuk mempromosikan matlamat dalam apa jua bidang konflik. Manakala strategik dari sudut yang lebih khusus telah didefinasikan sebagai “seni agihan dan aplikasi cara ketenteraan untuk memenuhi matlamat polisi”, mengekspoitasi kekuatan tentera bagi mencapai matlamat dasar tertentu dan perhubungan antara kuasa ketenteraan dengan tujuan politik.

Dalam membincangkan tajuk yang diberikan secara lebih mendalam lagi, tidak lengkap kiranya jika tidak menjelaskan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan diplomasi hak asasi manusia. Perkataan diplomasi selalunya digunakan dalam pengertian yang luas yang merangkumi kedua-dua aspek pembentukan dan pelaksanaan dasar luar. Dalam pengertian yang lebih bersifat teknikal, ia dimaksudkan sebagai urusan yang membahagikan antara kerajaan dengan kerajaan. Diplomasi adalah hasil daripada kewujudan beberapa unit politik yang bersaing dan asal-usulnya boleh dikesan sejak dari zaman lampau lagi. Setiap masa, pemimpin menganggap diplomasi sebagai suatu alat penting bagi dasar negara tetapi sedikit demi sedikit ia telah melampaui peranan sebenarnya. Oleh kerana kepentingan national di beberapa buah negara tidak boleh dicapai dengan jayanya kecuali melalui pengekalan keseimbangan kuasa, maka diplomasi itu harus memenuhi kehendak sistem tersebut secara keseluruhannya. Disebabkan diplomasi merupakan satu elemen penting dalam menyelesaikan konflik, ia telah digunakan sebagai suatu alat dasar dalam menyelesaikan masalah hak asasi manusia. Jenis-jenis diplomasi hak asasi merangkumi empat perkara iaitu, diplomasi ketenteraan, ekonomi, politik dan media. Namun begitu, diantara keempat-empat jenis diplomasi ini , diplomasi ketenteraan merupakan suatu diplomasi yang sangat penting dan berkesan dalam menangani masalah berkaitan dengan pencabulan hak asasi manusia diperingkat dunia. Beberapa kejayaan telah dicapai melalui penggunaan diplomasi ini.

Secara umumnya, Hak Asasi Manusia boleh didefinasikan sebagai hak yang paling asas bagi manusia untuk hidup sebagai manusia (hak untuk hidup).[1] Di samping itu, terdapat beberapa hak yang dianggap asas bagi manusia untuk mengelakkan diri daripada dianiayai, hak kebebasan bersuara, hak mendapat perlindungan, hak mendapatkan makanan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa hak asasi manusia buka semata-mata merujuk kepada hak sivil dan politik tetapi juga merangkumi hak ekonomi, sosial dan budaya. Dengan demikian, hak asasi manusia boleh dikatakan sebagai satu alat perlindungan bagi manusia. Namun, kita harus sedar bahawa bukan semua negara di dunia ini mempraktikkan hak asasi manusia. Oleh itu, kes-kes pencabulan hak asasi manusia sering berlaku di negara dunia khususnya negara-negara dunia ketiga.

PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA DI BOSNIA-HERZEGOVINA

Pencabulan Hak Asasi Manusia sepertimana yang diketahui sebenarnya telah meninggalkan satu kesan yang amat mendalam dalam diri mangsa-mangsa yang terlibat sekaligus ia akan menjadi satu kenangan pahit dalam hidupnya terutamanya mengenai kejadian-kejadian yang berlaku terhadap penduduk tempatan yang tidak berdosa dan kanak-kanak yang tidak memahami erti peperangan. Pencabulan hak asasi yang berlaku di Bosnia-Herzegovina yang palig ketara sekali adalah masalah penghapusan kaum di wilayah tersebut. Seperti yang diketahui umum, kempen penghapusan penduduk Islam Bosnia telah bermula sejak dari perang Vienna lagi yang berlaku antara tahun 1683-1699. Semasa peperangan ini berlaku, tidak ramai yang berjaya melarikan diri dari Bosnia-Herzegovina dan lebih kejam lagi ramai yang telah dipaksa menukarkan agama dan sekiranya enggan berbuat demikian mereka akan diseksa dengan pelbagai bentuk penderaan.

Menurut satu laporan yang telah mencatatkan mengenai Jenayah Chetnik yang dilakukan di Bukovica bertarikh Mac 1943, menyatakan bahawa lebih kurang 500 penduduk Islam di Komuniti Bukovica yang kebanyakkannya wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak berupaya telah diseksa, disembelih dan dibakar. Menurut laporan itu lagi, orang lelaki disalib dan dipakukan pada pokok. Di perkampungan Mokevici, 81 orang telah disembelih dan dibakar. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana hak-hak asasi manusia tidak dilindungi.

Dalam pada itu, penyiksaan turut dilakukan di kem-kem tahanan di Bosnia-Herzegovina. Salah satu contoh yang dapat dilihat kekejaman yang berlaku di kem tahanan Omarska. Omarska sebelum peperangan merupakan sebuah lombong yang terbesar dan termoden di Yogaslavia. Kini ia dijadikan sebagai tempat latihan yang menjadi tumpuan kawasan seksaan dan pembunuhan. Menurut seorang mangsa, dianggarkan terdapat lebih kurang 4000 mangsa di dalam kem tahanan tersebut. Mereka ditempatkan dalam sebuah bilik yang kecil dan mereka terpaksa tidur bertindihan antara satu sama lain serta tidak disediakan selimut dan keperluan-keperluan lain. Mereka didera dengan kejam tanpa perikemanusiaan yang mana tangan mereka dipotong, mata dicungkil, menarik keluar semua kuku, cuping telinga dipotong dan ada yang dipotong buah zakar. Tidak cukup dengan itu, mangsa-mangsa tidak dibunuh tetapi dibiarkan begitu sahaja untuk menanggung keperitan dan seksaan dan ini menjadi keseronokkan askar-askar Serb di kem tahanan.

Tahanan yang berada di dalam kem tersebut dibekalkan dengan bekalan air yang kotor serta tercemar dijadikan minuman untuk tanahan di sini. Air ini adalah dari paip yang bocor dimana sebelum peperangan bekalan air ini digunakan untuk mengasingkan arang batu. Kandungan dalam air ini telah menyebabkan ramai yang telah diserang penyakit “Disentri”. Tahanan yang berjangkit dengan penyakit ini akan diasingkan dan dimasukkan dalam sebuah bilik berserta dengan mangsa penyakit yang lain. Layanan dan kemudahan yang diberikan kepada pesakit adalah sangat teruk sekali dan selalunya mereka akan dibiarkan mati begitu sahaja. Sementara dalam bilik tahanan wanita pula dikatakan dalam keadaan yang lebih teruk memandangkan pelbagai ketidakadilan dan penganiayaan sering berlaku. Pada siang hari mereka dipaksa bekerja di dapur sementara pada waktu malam mereka akan dijadikan mangsa penderaan dan mangsa rogol bagi askar Serb. Ada sesetengahnya dipaksa melayan nafsu askar-askar Serb lebih daripada lima orang. Kekejaman ini menggambarkan sikap tidak perikemanusiaan dan telah mencabulkan hak asasi terhadap masyarakat Bosnia.

Kekejaman di kem tahanan ini sukar dibongkar ekoran kelicikan pihak tentera yang megawasi kem tersebut. Sebagai contoh, sekiranya pihak Serb mengetahui bahawa pihak IRC (Palang Merah Antarabangsa) aka datang, mereka akan menukarkan layanan mereka terhadap tahanan supaya tidak diketahui tentang kekejaman yang dilakukan oleh mereka. Apabila mereka mengetahui pihak IRC[2] ingin ke kem tahanan, pihak Serb akan cuba memberi layanan yang lebih baik kepada tahanan di kem-kem tersebut. Mangsa dalam kem ini akan diberi layanan dan kemudahan yang lebih baik seperti selimut, katil, roti, makanan dan sebagainya. Mereka akan ditempatkan ke bilik yang lebih baik untuk mengelakkan diketahui umum tentang layanan mereka.

Penderitaan dan kesengsaraan hidup bangsa Bosnia mendapat perhatian yang meluas daripada media massa antarabangsa sehingga mencetusnya suara-suara simpati dan huluran bantuan kemanusiaan terutamanya kepada kanak-kanak Bosnia. Dalam hai ini, badan-badan atau agensi antabangsa turut terlibat dalam menyelesaikan isu ini. Salah satu aktiviti utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Berastu (PBB) ialah menyediakan Pasukan Pengaman untuk dihantar bertugas di Bosnia-Herzegovina. Kewibawaan PBB dalam menangani masalah pencabulan hak asasi penduduk Bosnia dapat dilihat apabila PBB telah menghantar pasukan tenteranya ke Bosnia ekoran berlakunya pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk di wilayah itu oleh pihak Serb dengan menggunakan nama Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPROFOR) pada Mac 1992. Pasukan yang dianggotai oleh 23,549 anggota tentera dari seluruh dunia bertanggungjawab untuk mengawasi pencabulan genjatan senjata, mennyampaikan bantuan kemanusiaan dan menyediakan kemudahan pemindahan pelarian Bosnia mulai Mac 1992. Dalam pada itu, pihak PBB cuba mendamaikan keadaan melalui resolusi-resolusi dan dengan harapan keadaan akan kembali pulih. PBB turut berperanan dengan mmengambil tindakan ketenteraan ke atas Serb. Pihak tentera yang dihantar oleh PBB kebanyakkannya ditugaskan mengawasi di kem-kem tahanan memandangkan kes pencabulan majoritinya berlaku di sana.

Selain itu NATO (North Atlantic Treaty Organization) turut menyumbangan bantuan dalam menangani konflik tersebut. NATO turut menghantar pasukan ketenteraanya bagi proses rundingan damai di Bosnia-Herzegovina. Amerika Syarikat diberi keutamaan dalam NATO memandangkan beberapa anggota NATO sendiri berperanan Amerika Syarikat adalah penting untuk menjamin pelaksanaan proses damai di Bosnia dan NATO akan menemui jalan buntu tanpa penglibatan pihak Amerika.[3] Sekutu-sekutu NATO berusaha untuk menamatkan kepungan di Bosnia dan bersedia untuk mengebom kedudukan pengganas Serb Bosnia sekiranya Setiausaha PBB pada ketika itu memberi persetujuan. Jet-jet pejuang NATO menguatkuasa Zon Larangan Terbang yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan. Pada peringkat awalnya, ia hanya dibenarkan membuat rondaan biasa serta lain pergerakan seperti mengesan lapangan terbang pihak Serb atau membuat sekatan elektronik sekiranya pencabulan berterusan. Tenteta-tentera yang dihantar oleh NATO dikerahkan mengawasi lapangan terbang di Bosnia bagi mengelakkan pengeboman oleh tentera Serb. Dengan bantuan yang diberikan oleh PBB dan NATO telah berjaya menghalang pencabulan oleh pihak tentera Serb daripada terus berleluasa. Campurtangan dan bantuan yang disalurkan juga telah melemahkan pihak tentera Serb ekoran semua lokasi yang dikuasai sebelum ini telah dikawal dan diawasi oleh badan-badan berkenaan.

KRISIS PENCABULAN HAK ASASI DI RWANDA

Seperti yang sedia maklum, krisis atau masalah pencabulan hak asasi manusia turut berlaku di Rwanda. Sejarah awalnya, tiada satu penempatan mutlak tentang kaum Hutu Tutsi dan Twa yang mendiami Rwanda. Adalah dipercayai bahawa kaum Hutu merupakan penduduk asli Rwanda yang telah bertapak sejak 500 tahun lebih awal daripada kaum Tutsi.[4] Manakala kaum Tutsi yang lebih dikenali sebagai the superior race besar kemungkinan berasal dari Origin Cushitic di Horn, selatan Filipina. Krisis berlaku di Rwanda dapat dilihat selepas pilihanraya kebangsaan, Gregoire Kayibanda telah dipilih sebagai presiden baru kepada parlimen pada 26 Oktober 1961. Ahli kabinetnya terdiri daripada PARMEHUTU, UNAR, APROSOMA. Kerajaan sementara ini akhirnya mendapat pengiktirafan rasmi Perhimpunan Agung PBB pada 1 Julai 1962.

Dari segi pentadbiran, seperti Sistem Mwami tradisional yang wujud sebelum ini dikekalkan.[5] Presiden Kayibanda bertanggungjawab dalam semua perlantikan dan pemilihan pegawai, termasuklah golongan pegawai yang bertaraf rendah. Disamping itu, bentuk pentadbiran negatif seperti perlantikan yang berdasarkan hubungan pertalian diraja, korupsi dan ketidakseimbangan dalam pengagihan dimansuhkan. Ia digantikan dengan democratic revolution yang menekankan kesamarataan dari segi sosial, keadilan perundangan dan pembangunan. Malangnya. Nilai-nilai sedemikian gagal dipraktiskan dalam realiti.

Malahan, semasa pemerintahan beliau, beliau telah melakukan pencabulan ke atas kaum Tutsi yang merupakan penduduk minoriti di Rwanda. Tindakan tersebut telah memburukkan keadaan tambahan pula kerajaan Rwanda telah melakukan sekatan-sekatan ke atas kaum Tutsi. Penyingkiran kaum Tutsi dapat dilihat melalui dua aspek iaitu sebagai mangsa politik dan penganiayaan fizikal. Pencabulan dalam politik dapat dilihat apabila mangsa pertama adalah ketua dan penolong ketua kaum Tutsi. Daripada jumlah 43 orang ketua Tutsi dan 549 orang penolong ketua, 21 dan 314 orang masing-masing telah disingkirkan dari jawatan melalui pembunuhan, pengusiran dan buang negeri. Jawatan mereka kemudiannya digantikan oleh kaum Hutu sementara. Selain itu, Presiden Kayibanda juga mengenakan koata sebanyak 10% dari segi peluang pendidikan dan perkhidmatan awam. Dengan demikian, ia telah menimbulkan masalah pengangguran dan persaingan hebat dalam pencarian pekerjaan khasnya antara golongan elit Tutsi itu sendiri.

Pencabulan dari segi fizikal pula berlanjutan sepanjang tempoh ketengangan politik iaitu sebelum dan selepas kedua-dua pilihanraya 1960 dan 1961. Namun begitu, kemuncak konflik adalah pada 1963 ketika penyerangan Inyenzi. Serangan ini telah membawa kepada kemusnahan dan kematian yang begitu banyak. Contohnya, di prefecture Gikongoro sahaja dianggarkan 5,000 hingga 8,000 orang kaum Tutsi terbunuh. Manakala bagi 15 pemimpin utama kaum Tutsi yang kekal dalam jawatan pula dihukum bunuh tanpa perbicaraan. Keadaan ini menyebabkan kaum Tutsi hidup dalam keadan tidak tenteram. Penduduk awam turut menjadi mangsa semasa krisis tersebut. Tragedi yang menimpa kaum minoriti ini hanya berakhir pada tahun 1990.

Ekoran krisis tersebut, sebilangan besar kaum Tutsi meninggalkan Rwanda dan mencari tempat perlindungan yang lebih selamat. Destinasi utama pelarian adalah menuju ke Burundi, Uganda, Tanzania dan Zaire. Menurut bancian UNHCR (United Nations Hight Commission for Refugee), sehingga tahun 1990, angka pelarian telah mencapai 600,000-700,000[6] orang termasuk generasi baru yang dilahirkan di negara penerima. Pelarian kaum Tutsi telah membentuk pakatan untuk bertindak balas terhadap apa yang dihadapinya sebelum ini. Sebagai contoh di Zaire, pelarian yang tertumpu di Kivu berjumlah antara 450 ribu hingga 1.3 juta. Mereka membentuk satu kumpulan tanpa membezakan diri kepada kaum Hutu ataupun kaum Tutsi. Kumpulan ini kemudiannya menggelarkan dirinya sebagai penduduk Zaire. Tetapi, identiti mereka tidak diterima oleh penduduk tempatan. Di Uganda pula, pelarian Rwanda menyertai gerakan gerila Museveni yang kemudiaanya berjaya menggulingkan Rejim Uganda di bawah presiden Milton Obote.

Krisis yang berlarutan di Rwamda telah menyebabkan masyarakat dunia mengutuk tindakan pelampau kaum Hutu ekoran menindas kaum Tutsi yang merupakan penduduk minoriti di Rwanda. Tidak terkecuali tentangan hebat dilakukan oleh badan-badan pertubuhan antarabangsa terutamanya campurtangan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dengan demikian, PBB telah bersedia memainkan peranan penting dalam usaha membantu menyelesaikan krisis di Rwanda. Peranan besar yang dimainkan oleh PBB adalah dengan menghantar tenteranya ke Rwanda. Pembentukan angkatan tentera melalui UNOMUR (United Nations Observer Mission Uganda-Rwanda), UNAMIR (United Nations Assistance Mission in Rwanda) dan UNAMIR II (United Nations Assistance Mission in Rwanda II) merupakan tiga unit tentera pengaman yang bertanggungjawab mengembalikan keamanan Rwanda. Bermula dengan pembentukan UNOMUR sehingga tamatnya mandat UNAMIR II, proses ini memperlihatkan kemantapan dalam usaha yang dilaksanakan.

Berikutan krisis tersebut, kerajaan Rwanda dan Uganda telah menulis surat kepada Presiden Majlis Keselamatan meminta agar PBB membentuk misi pemerhati di sepanjang 150km sempadan bersama.[7] Kerajaan Uganda menjelaskan bahawa permintaan ini adalah untuk mengelak berlakunya konflik Rwanda ke Uganda semakin berleluasa. Dalam mengimplimentasi Resolusi 812 (1993) Majlis Keselamatan pada 2 hingga 6 April 1993 telah membentuk suatu misi teknikal yang bertugas di sepanjang sempadan Uganda-Rwanda. Lanjutan itu, 81 orang tentera pemerhati dari Bangladesh, Brazil, The Netherlands, Senegal, Slovakia dan Zimbabwe ditempatkan di sebelah Uganda untuk mengawal sempadan. Fokusnya adalah pemeriksaan kenderaan pada transit point dan sekatan jalan raya untuk mengelakkan pennyeludupan senjata kepada pelarian Rwanda. Jumlah perbelanjaan sehingga 21 Disember 1993 adalah sebanyak US$2,298,500.[8] Disamping itu, PBB juga telah menempatkan sebilangan polis awam di Kigali dan prefecture yang berlainan demi menyenangkan kerja tentera pengaman.

Melalui konsep The blood based goverment of national unity, UNIMAR meneruskan usaha memastikan keselamatan awam supaya pelarian Rwanda berkeyakinan terhadap kerajaan dan kembali ke tanah air. Manakala dari segi hak asasi manusia pula, UNAMIR dengan kerjasama United Nations High Commissioner Rights (UNHCHR) telah membentuk tujuh pejabat di bahagian yang berlainan. Tanggungjawab ini diagihkan antara 60 orang pegawai dan penyiasat hak asasi manusia serta 40 orang pemerhati yang dijangka akan sampai pada Disember 1994.[9] Pada akhir April 1994, situasi di Rwanda semakin reda. Tambahan pula hanya 270 orang tentera pengaman bertugas di Kigali. Beberapa kejayaan telah dicapai dalam menangani krisis tersebut. Namun begitu, penyelesaian terhadap krisis ini tidak berjaya sepenuhnya tetapi ia dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh penduduk Tutsi.

PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA DI SOMALIA

Somalia merupakan satu negara bangsa dimana kedudukannya terletak di sempadan negara Afrika tetapi sering dikatogerikan sebagai negara Arab.[10] Disamping itu, ia juga merupakan percantuman daripada dua pentadbiran penjajahan iaitu British Somaliland di utara dan Itali Somaliland di selatan.[11] Semasa Perang Dunia Kedua lagi, bangsa Somalia telah berkesempatan menikmati penggabungan semula apabila Itali berjaya menakluki sebahagian Ogaden Ethiopia dan bergabung dengan Itali Somaliland pada tahun 1940.

Sejak 1988 lagi, Somalia telah menunjukkan kebenaran Clausewitz yang mengatakan bahawa peperangan adalah merupakan salah satu jenis politik yang berlainan daripada maksud sebenar.[12] Perang saudara pada 1980-an sebenarnya bersumberkan kepada beberapa faktor seperti pengasingan puak, sifat yang terlalu memilih sanak-saudara dalam menjawat jawatan-jawatan tinggi, pembahagian sumber negara tidak sekata serta corak pemerintahan Barre yang terlalu berpusat dan diktator sehingga melakukan pencabulan ke hak-hak asasi kedaulatan masyarakatnya. Tambahan pula, usianya yang semakin meningkat serta kesihatannya yang semakin merosot akibat kemalangan telah menimbulkan kesangsian orang ramai terhadap keupayaannya menyelesaikan masalah dalam negaranya. Demi menghadapi masalah ini, Barre telah mengambil langkah untuk berbaik dan berdamai dengan pihak musuhnya melalui rundingan. Walau bagaimanapun, segala usahanya tidak mendapatkan hasil seperti yang diinginkan.

Barre sememangnya terkenal dengan seorang yang tegas dan beliau telah menggunakan kekerasan dalam mengawal perang saudara yang berlaku dalam negerinya. Menjelang pertengahan 1980-an, didapati pihak musuhnya telah melakukan percubaan untuk menggulingkan Barre. Tindakan tersebut telah menaikkan kemarahan Barre dan beliau telah mengarahkan melakukan pembunuhan ke atas binatang-binatang ternakan dengan menggunakan senapang mesin disamping meracunkan semua perigi-perigi di sekitar bandar di bahagian utara sebagai tanda ketidakpuasan hati beliau terhadap pihak musuhnya. Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengarahkan supaya tenteranya menggempur pihak musuh yang tidak menyokongnya termasuklah membunuh orang awam. Kanak-kanak turut menjadi mangsa keganasan tentera Barre. Keadaan ini menggambarkan tindakan Barre adalah mencabuli hak asasi manusia terhadap penduduknya.

Menurut satu laporan pada 1990 oleh Jawatankuasa Pemerhati Africa yang bertapak di New York, ia menganggarkan jumlah kematian orang awam sejak Mei 1988 sehingga 1989 adalah diantara 50,000 dan 60,000 yang mana kebanyakkan mangsanya adalah puak Issaq. Tindakan kekerasan yang dilakukan oleh Barre dalam menghapuskan pihak-pihak tertentu telah menyemarakkan lagi kemarahan serta ketidakpuasan hati di kalangan orang awam khususnya. Memandangkan pentadbiran Barre telah mencemarkan kedaulatan negaranya, kebanyakkan penduduk setempat telah menubuhkan kumpulan gerila yang bermatlamat menggulingkan kuasa Barre. Matlamat agung ini akhirnya telah dicapai oleh USC United Somali Congress tanpa pertolongan dan sokongan daripada pihak lain.

Dalam Disember 1990, pemberontak-pemberontak USC telah memasuki Mogadishu secara tersembunyi untuk memberi bantuan kepada ahli-ahli USC dalam menangani angkatan tentera Barre. Kehadiran USC seolah-olah menjadi pemangkin dalam mempercepatkan lagi tindakan Red Barets yang bertindak sebagai pengawal peribadi Barre dalam campurtangan ke atas kehadiran USC. Dalam pergelutan tersebut, USC telah menghantar lebih banyak bantuan ke bandar Mogadishu. Pergelutan yang mengambil masa selama 4 minggu di kawaan bandar akhirnya berjaya mengalahkan pihak Barre. Kekalahan rejim Barre telah meninggalkan suatu kekosongan atau vakum dalam politik Somalia yang seterusnya membuka jalan kepada pemulihan semula politik yang berbau perkauman atau puak sepertimana yang berlaku secara tradisional dahulu kalanya.

Walaupun rejim Barre berjaya dihapuskan namun timbul masalah puak yang mana masing-masing ingin menguasai politik di Somalia terutamanya kawasan sekitar Mogadishu yang merupakan pusat bagi negara ini. Dengan demikian, masing-masing mempunyai hasrat tersendiri untuk menguatkan kuasa politik, kuasa kerajaan serta kuasa dalam masyarakat awam. Lantaran itu, timbul pelbagai masalah di Somalia seperti berlakunya semangat berpuak-puak, agihan bantuan tidak sama rata, sering berlaku pembunuhan dan sebagainya. Pada 1992, bahagian selatan Somalia telah ditimpa masalah kebuluran yang sangat serius.

Dalam menyelesaikan konflik tersebut, PBB telah memainkan peranan penting terutama dalam perundangan, bantuan kemanusiaan, mengatur proses genjatan senjata serta menghantar pasukan ketenteraannya sebagai agen yang bertindak mengawal keadaan rantau tersebut. Di bawah kerjasama Setiausaha Agung PBB di bawah Majlis Keselamatan didapati peranan PBB dalam mengekalkan keamanan disamping menyelesaikan konflik memang tidak dapat diragui. Contohnya dalam perundingan Soviet Union daripada pencerobohan Afghanistan pada 1988, perundingan dalam mengakhiri perang Iran-Iraq selama lapan tahun serta membawa keluar Afrika Selatan dari Namibia pada 1989.

Objektif utama PBB campurtangan dalam krisis Somalia di bawah Resolusi 733 Majlis Keselamatan pada 23 Januari 1992 adalah untuk mengaturkan satu genjatan senjata di antara pengganas, mengatur dan menghantar bantuan kemanusiaan, mempromosi pendamaian kebangsaan serta penyelesaian konflik. Namun, campurtangan yang paling besar PBB dalam mengatasi masalah di Somalia adalah dengan melancarkan operasi ketenteraan dan menempatkannya di bandar Somalia yang mana berlakunya konflik tersebut. Tentera-tentera yang dihantar ditugaskan mengawasi politik di Somalia disamping melakukan serbuan ke atas kumpulan pemberontak bagi mengembalikan keamanan rantau tersebut. Disamping itu, untuk menjayakan lagi usaha ini, PBB telah mengembleng tenaga dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangasa yang lain dalam menangani konflik di Somalia. Dalam pada itu, kedua-dua pihak yang bertelagah bersetuju menerima penghantaran pasukan keselamatan untuk mengiringi proses penghantaran bantuankemanusiaan disamping bersetuju dengan penempatan 20 pemerhati militari di seluruh Mogadishu untuk memastikan proses perlucutan senjata api berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung ini telah mencadangkan kepadaMajlis keselamatan untuk mengimplimentasikan satu rangka perjanjian di Mogadishu. Sejurus selepas itu, Resolusi 746 pada 17 Mac telah diterima dimana resolusi ini telah menyokong cadangan Setiausaha Agung untuk menghantar satu pasukan teknikal ke Somalia bagi mengkaji dan menasihati satu mekanisma yang lebih berkesan dalam usaha perlucutan senjata api serta penghantaran misi pengaman di Somalia. Dengan ini, penglibatan PBB semakin menonjol dalam menyelesaikan masalah di Somalia.

PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA DI PULAU TIMUR INDONESIA

Timor Timur merupakan provinsi ke-27 bagi Indonesia yang terbentuk pada 17 Julai 1976. Ibu kota Timor Timur adalah Dili. Di indonesia sering berlaku pemberontakan provinsi baru yang mana biasaya dibentuk dari daerah keresidenan. Wilayah Timor Timur sebelum ini menjadi provinsi Indonesia, ia adalah daerah kolonial Portugis maka pembentukan provinsi Timor Timur adalah berlainan dengan provinsi-provinsi yang lain. Pulau Timor Timur mempunyai keluasan 32,000 kilometer persegi. Ia merupakan pulau yang terbesr di Kepulauan Sunda.[13]

Bermula dengan pencerobohan Timor Timur pada 1975, Indonesia telah berulangkali mencabuli hak asasi manusia orang Timor Timur dan enggan membenarkan organisasi-organisasi hak asasi manusia masuk ke negara untuk memerhati situasi di Timor Timur. Amnesty International telah melaporkan pada tahun1993 berkaitan ancaman keganasan termasuk rogol dan layanan yang kurang baik dalam bentuk lain yang selalu digunakan oleh pasukan keselamatan sebagai kaedah untuk mengugut dan mengancam. Memandangkan tiadanya kehadiran pihak asing di Timor Timur, pihak pemerintah Indonesia telah menggunakan kekuasaan yang ada di tangan mereka untuk sesuka hati tanpa berperikemanusiaan. Dasar tutup pintu di Timor Timur menyebabkan sukar untuk mendapatkan berita mengenai suasana atau keadaan di Timor Timur.

Beberapa organisasi telah berjaya mengumpulkan maklumat tentang pencabulan oleh pihak berkuasa Indonesia terhadap wanita Timor Timur yang mana kumpulan hak asasi manusia dilarang masuk ke Timor Timur. Dalam pada itu, bentuk pencabulan gender yang khususnya telah dilalukan oleh pihak berkuasa Indonesia terhadap wanita Timor Timur seperti rogol, semua bentuk penganiayaan seks, gangguan seksual, perkahwinan paksa, penggunaan wanita sebagai hamba seks dan pelacuran. Pada tahun 1975, pasukan Indonesia telah mendarat di Timor Timur, mereka meminta gadis dan mengejar wanita-wanita yang didapati melarikan diri. Terdapat beberapa sumber yang melaporkan tentang askar Indonesia yang menganiayai dan merogol gadis-gadis berumur antara 12-13 tahun termasuk wanita yang mengandung. Sikap tidak berperikemanusiaan ini telah diikuti oleh rakyat Timor Timur dalam tentera Indonesia.

Dalam pada itu, terdapat satu lagi bentuk rogol iaitu “security linked rapes” dimana isteri, adik beradik perempuan dan saudara wanita pejuang kebebasan Timor Timur menjadi sasaran mangsa rogol askar Indonesia sebagai satu cara membalas dendam terhadap pejuang kebebasan atau cara untuk memaksa pejuang kemerdekaan menyerah diri kepada pasukan Indonesia. Ada juga gadis-gadis yang rela dirogol bagi menyelamatkan sauara lalaki mereka daripada penganiayaan tentera Indonesia.

Selain daripada pencabulan secara terbuka yang dilakukan oleh pemerintah Indonesia, terdapat satu corak yang selalu digunakan iaitu dengan membangkitkan konflik agama di Timor Timur. Hal ini bertujuan untuk melahirkan kegelisahan di Timor Timur sebagai satu subjek konflik antara Kristian dan Islam. Sebagai contoh yang berlaku pada Jun 1996 apabila seorang ahli Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dilihat meletakkan gambar “Virgin Mary” di atas pintu masuk masjid di Bognia. Berikutan itu, pemuda di Baucau telah mengadakan demontrasi aman meminta kerajaan dan ABRI bertanggungjawabn penuh bagi kejadian itu. Rusuhan tercetus apabila pasukan Indonesia menembak secara rambang ke arah penunjuk perasaan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa kerajaan Indonesia turut berkompromi dalam pencabulan hak asasi di Timor Timur. Jumlah peningkatan angka korban meningkat dari sehari ke sehari ekoran ketidakadilan pemerintahan kerajaan Indonesia.

Penindasan, kekejaman serta pencabulan hak asasi manusia di Timor Timur telah melahirkan bantahan secara besar-besaran oleh masyarakat dunia. Tidak terkecuali kemarahan turut disuarakan oleh beberapa buah badan organisasi di peringkat antarabangsa. Dalam kes ini, kita dapat lihat peranan yang dimainkan oleh PBB dalam menangani isu ini. Tambahan pula, Timor Timur telah berada dalam agenda PBB begitu lama berbanding kes-kes lain. Ia memasuki agenda dekolonisasi PBB pada tahun 1960 apabila perhimpunan Agung PBB memasukkan Timor Timur dalam senarai wilayah Portugis. Berikutan pencerobohan indonesia pada tahun 1975, Timor Timur telah muncul sebagai satu agenda dalam badan-badan PBB.

Dalam menyelesaikan kes ini, PBB telah mengambil satu Resolusi 3485 yang memanggil penarikan keluar tentera Indonesia dan mencadangkan tindakan segera diambil oleh Majlis Keselamatan PBB bagi melindungi integrasi wilayah Timor Timur dan hak penentuan diri sendiri rakyat Timor Timur. Dalam pada itu, PBB telah menempatkan tentera-tentera pengaman di Timor Timur bagi menjamin keselamatan awam terpelihara. Tentera-tentera pengaman yang dihantar akan menjalankan tugas menyiasat di kem-kem tentera di Timor Timur.

Pentadbiran dalaman kem-kem tersebut diambil alih oleh tenteta PBB. Penyiasatan turut dilakukan dari semasa ke semasa bagi melindungi hak-hak rakyat di wilayah berkenaan. Penglibatan PBB dalam konflik di Timor Timur telah meredakan kes pencabulan hak asasi manusia. Setiausaha Agung PBB juga telah mengeluarkan arahan supaya menghantar perwakilan segera bagi menilai keadaan di Timor Timur. Pada peringkat pertama, sejumlah 560 orang tentera Indonesia telah ditarik balik dan tidak dibenarkan memasuki wilayah tersebut. Penempatan tentera turut ditempatkan di perairan pualu tersebut bagi mengelakkan pencerobohan masuk tentera Indonesia. Pada 1998, Setiausaha Agung PBB telah mendesak supaya membebaskan pejuang gerila Timor Timur iaitu Xanana Gusmao yang dipenjarakan bagi tempoh 20 tahun dan dengan demikian, Xanana dapat memainkan peranannya dalam menentukan masa depan wilayah tersebut. Rentetan itu, penduduk di Timor Timur telah mendapat pembelaan sewajarnya. Keajayaan PBB dalam menyelesaikan kes pencabulan ini membuktikan bahawa PBB merupakan satu badan yang sangat penting dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, sejak deklarasi hak asasi manusia diwujudkan serta diberi pandangan serius terutamanya oleh badan-badan pertubuhan antarabangsa, banyak konflik-konflik yang berlaku diperingkat antarabangsa dapat diselesaikan. tambahan pula, penyelesaikan sesuatu konflik tersebut yang menggunakan cara diplomasi ketentertaan telah membuktikan bahawa daripada beberapa jenis diplomasi yang ada, diplomasi ketenteraan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyelesaikan sesuatu isu dan dapat dilihat kejayaannya melalui beberapa buah negara yang telah dijeskan. Kejadian pencabulan ke atas manusia terutamanya dengan melakukan penyiksaan dan penganiayaan terhadap mangsa telah mendapat perhatian dari semua pihak di peringkat antaranbangsa dan mereka ramai menghulurkan pelbagai bentuk bantuan. Seperti yang dibincangkan, beberapa buah negara yang menghadapi masalah pencabulan hak asasi manusia seperti krisis di Bosnia-Herzegovina, krisis Somalia dan sebagainya telah banyak membuka mata masyarakat antarabangsa betapa pentingnya menjaga dan mempertahankan hak-hak individu. Pelbagai perubahan telah dilakukan dalam badan organosasi antarabangsa untuk mempertingkatkan lagi prestasi dalam menyelesaikan sesuatu isu sekaligus dapat menyelamatkan mangsa-mangsa kekejaman.

CONTOH PENCABULAN TERHADAP MANUSIA

BIBLIOGRAFI


[1] Prof. Madya Dr. Mokhtar Mohamad, Perhubungan Antarabangsa Konsep Dan Konteks, Kuala Lumpur, 2005., hlm. 6.

[2] Alijah Gordon, Bosnia: Testament to War Crimes as told by Survivors, Budaya Ilmu Sdn. Bhd, 1993., hlm 13.

[3] Http://en.wikipedia.org/wiki/NATO

[4] Gerard Prunier, The Rwanda Crisis 1959-1994: History of a Genocide, London: Hurst & Company, 1995., hlm. 6.

[5] www.wikipedia.org/wiki.Rwanda

[6] Patrick J.O’ Halloran, Humanitarian Intervention and the Genocide in Rwanda, London: The Reseach Institution for the study of Conflict and Terroism, 1995., hlm. 6.

[7] “United Nations Assistance Mission for Rwanda”, http://ralph.gmu.edu/cfpa/peace/unomur. Html.

[8] The United Nation and Rwanda 1993-96, New York: United Nation Department of Public Information, 1996., hlm. 26.

[9] “United Nations Assistance Mission for Rwanda”, http://ralph.gmu.edu/cfpa/peace/unomur Html.

[10] Gerald Pruneir, Somalia: Sivil Wall, Intervention And Withdrawal 1990-1995 (July 1995)”, http:/www/unhcr.ch/refworld/country/writenet/wrison.htm.

[11] Clement Abide, Managing Arms In Peace Process: Somalia, New York and Geneva: United Nations, 1995., hlm. 4.

[12] Samuel M. Makinda, Seeking Peace From Chaos: Humanitarian Intervention in Somalia, London: Lynne Rienner Publishers, 1993., hlm. 24.

[13] http://www2.dw-world.de/indonesia/politik/1.77386.1.html

No comments:

Post a Comment