Monday, September 14, 2009

Penghayatan dan Pengisian Lailatul Qadar

Artikel di bawah dikeluarkan oleh Jabatan Syariah, Takaful Malaysia. Semoga dapat dimanfaatkan bersama, insyaAllah...
----------------------------------

Pendahuluan

BEGITU besar kasih yang diberikan Allah kepada hambaNya. Lihatlah kita, manusia, sebagai salah satu hambaNya dengan tabiat yang sering jatuh bangun dalam lumpur dosa namun Allah sentiasa mengasihi dengan memberi kita kemudahan-kemudahan untuk mensucikan diri dari karat-karat dosa dan kemaksiatan.

Ramadhan, merupakan salah satu sarana yang Allah berikan kepada kita untuk memperolehi keampunan Nya. Banyak kelebihan yang Allah berikan kepada hamba Nya melalui Ramadhan. Apabila umat ini tahu apa yang ada dalam Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan hal itu selama satu tahun penuh.

Salah satu keagungan, keistimewaan dan kemuliaan Ramadan ialah satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang hanya muncul pada 10 hari terakhir Ramadan itu lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar. Rasulullah (SAW) sendiri memohon kepada Allah agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu menemuinya.

Banyak penjelasan Rasulullah SAW yang sampai pada kita tentang keutamaan-keutamaan malam yang penuh barakah ini. Sebagai malam yang terbaik dan paling barakah di antara malam yang ada, di dalamnya Allah telah menjanjikan pada hamba Nya yang ikhlas dan berharap untuk mendapatkan perlindungan Nya di hari Akhirat, akan melipat gandakan sampai 1000 bulan untuk amalan-amalan kebaikan yang dilakukan pada malam ini.

Dalil

Antara dalil yang menceritakan tentang Lailatul Qadar ini ialah firman Allah dalam surah al Qadar ayat 1-5 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kamitelah turunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar (malam kebesarandan kemuliaan). Dan apa jalan engkau (Muhammad) dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih besar pahalanya daripada amal ibadah yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."

Berdasarkan kepada firman Allah Taala di atas maka jelaslah tentang kewujudan Lailatul Qadar. Ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu.

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir. Walau apa pun harinya, yang pentingnya pada malam itu Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan-Nya kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan. Kelebihan Lailatul Qadar tentu tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu saja dalam Ramadan. Pendek kata, untuk mendapatkan Lailatul Qadar mestilah dimulakan amal ibadat bermula seawal malam pertama bulan Ramadhan.

Kelebihan Lailatul Qadar

Fadilat malam mulia itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai ke Islaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan sehariannya. Daripada Abi Hurairah r.a dari Nabi s.a.w baginda bersabda:

"Sesiapa yangmenghidupkan malam Ramadhan (dengan solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan mengharapkan (rahmat dan keampunan Allah) maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu . Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan seperti yang dijelaskan oleh Allah Taala dalam surah al Qadar.

Ibn Jarir mengeluarkan hadis daripada Mujahid beliau berkata: Ada seorang lelaki kaum Bani Isra'il , pada malam harinya melakukan Qiyamullail sehingga subuh dan berjihad sepanjang hari, dia telah melakukannya selama sertibu bulan. Maka Allah telah menurunkan "Lailatul Qadar yang lebih dari seribu bulan" maka Qiyamullail pada malam itu lebih baik dari amalan seribu bulam lelaki tersebut.

Al Dhahhak menyebut bahawa pada malam tersebut Allah Taala melimpahkan kesejahteraan. Mujahid pula menyatakan bahawa pada malam tersebut ianya selamat sejahtera daripada gangguan Syaitan dimana Syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan.

Tanda-tanda Lailatul Qadar

Antara tanda-tanda dalam mengetahui lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai Lailatul Qadar yang ertinya:

"Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram)." (Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab puasa).

Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang ertinya:

"Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu." (Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit)

Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya :

"Malam lailatulqadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya (suram)."

Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawaRasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya :

"Malam Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk."

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

a.) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.

b.) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.

Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

a.) Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pulapanas.

b.) Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c.) Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

Pengisian

Rasulullah (SAW) amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan. Dalam hal ini, memadailah Rasulullah (SAW) sebagai model yang menampilkan teladan terpuji untuk diikuti oleh umat Islam seluruhnya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah (SAW) tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat dalam masjid seperti solat Tahajud, solat Witir, solat Tarawih, berzikir kepada Allah serta membaca dan tadarus al-Quran. Baginda juga sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.

Antara doa yang sering baginda baca ialah doabermaksud:

"Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan didunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa. Tambahan pula, setiap manusia pada dasarnya tidak akan terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Ringkasnya antara pengisian yang boleh dilakukan semasa Lailatul Qadar ialah:

a.) Solat Maghrib dan Solat Isya' berjemaah.

b.) Solat Tarawih dan solat Witir

e.) Memperbanyakkan doa memohon keampunan dan keselamatan kepada Allah.

c.) Bersungguh-sungguh membaca dan bertadarus al-Qur'an.

d.) I'tikaf dengan membanyakkan ibadat seperti solat sunat, tilawah al Quran, berzikir, berdoa dan istighfar.

e.) Melakukan Qiyamullail (solat-solat sunat, zikir, selawat dan lain-lain) secara sendirian atau berjama'ah

f.) Bersahur

No comments:

Post a Comment